Nakama

Ahad, 30 November 2014

Cerpen: Planetarium-Part 1-

Seorang kanak-kanak memandang sekeliling. Dia melihat pintu-pintu bilik yang tertutup rapat di tingkat bawah itu. Seorang pemuda berkaca mata dan bersuit hitam hanya mengekori langkah kanak-kanak itu. "Cik muda. Cik muda, nak pergi mana?" soalnya pemuda berkaca mata itu. Kanak-kanak perempuan itu berpaling melihat pemuda itu.

"Kenapa awak kisah saya nak ke mana. Ikut suka sayalah. Awak tu butler saya sahaja, Danish!" jawab kanak-kanak perempuan yang berusia dalam linkungan umur 10 tahun itu. Danish hanya diam dan mengekori langkah kanak-kanak itu.

"Cik muda Ana, kalau datuk cik muda cari cik muda macam mana?" soal Danish kepada Ana yang kelihatan teruja membuka satu per satu pintu bilik di tingkat bawah itu.

"Awak tolonglah jawab untuk saya. Bukan ke tugas butler, melindungi tuan mereka?" Ana membalas tanpa meihat Danish. Dia menutup kembali pintu bilik itu.

"Tapi, butler berhak untuk membetulkan tuan mereka apabila tuan mereka salah..." jawab Danish.

"Saya faham. Tapi, buat masa sekarang ni saya nak teroka rumah agam datuk ni. Saya nak cari pintu rahsia, mana tahu rumah ni ada laluan rahsia, pintu rahsia...semuanya rahsialah!" Ana tersenyum ceria. Dia berlari-lari anak di koridor tersebut dan menapak ke lorong sebelah kanan. Danish berjalan dengan pantas untuk menyaingi langkah Ana.

"Cik muda!" Danish memanggil Ana yang sedang menjelirkan lidah ke arahnya. Ana mengejek Danish kerana tidak dapat menyaingi langkahnya.

Ana berlari lebih laju lagi apabila melihat Danish semakin menghampirinya.

"Cik muda!" Danish terkejut apabila melihat Ana jatuh ke dalam sebuah lubang. Ana menjerit. Danish kemudiannya tergesa-gesa berlari ke tingkat atas untuk mendapatkan bantuan. Dia perlu bersegera ke tingkat atas kerana rumah agam datuk Ana sangat besar dan masa yang diambil untuk sampai ke tingkat atas kira-kira 30 atau 45 minit jika berlari atau berjalan.

"Aduh..." Ana menggosok kepalanya. Siku dan lututnya berdarah. Ana cuba untuk berdiri perlahan-lahan.

"Tempat apa ni?" Ana melihat-lihat sekeliling. Tempat itu kelihatan seperti sebuah taman. Banyak jenis bunga yang ditanam di situ terutamanya bunga mawar. Di atas taman itu kelihatan cahaya menerobos masuk melalui sebuah lubang yang tidak mempunyai atap. Awan biru berarak  dan burung-burung terbang di atas langit. Itu yang dapat Ana lihat melalui lubang itu. Di tepi taman bunga itu, kelihatan sebuah bangku dan meja kayu terletak di situ. Sebuah almari yang dipenuhi buku-buku juga turut diletakkan di tepi meja itu. Meja dan bangku itu terletak di bawah sebuah pokok yang rendang. Di dahan pokok itu, ada buai yang diperbuat dari kayu rotan. Manakala, pemegang buai itu diperbuat dari akar-akar yang kuat dan dihias dengan bunga.

"Cantiknya!" Ana tersenyum melihat taman itu. Taman itu dipenuhi oleh bunga-bunga. Rama-rama juga hinggap di atas bunga tersebut.

"Terima kasih kerana memuji taman yang tak seberapa ni..." kata satu suara. Ana berpaling ke kanan, kelihatan seorang gadis sedang tersenyum ke arahnya. Dia menutup buku yang dipegangnya dan diletakkan di sisinya. Gadis itu memakai gaun tidur bewarna biru lembut diikat riben bewarna putih, sesuai dengan kulitnya yang putih. Rambut ikalnya kelihatan beralun dibelai angin.

"Siapa nama awak?" tanya Ana.

"Nadia." jawab gadis itu sepatah.

"Umur awak berapa tahun?" Ana bertanya lagi.

"14 tahun. Awak?"

"10 tahun.." jawab Ana sambil menunjukkan kedua-dua tapak tangannya kepada Nadia, menandakan 10. Nadia mengangguk faham.

"Kenapa awak seorang je kat sini? Tak sunyi ke?" Ana memandang raut wajah Nadia. Nadia tersenyum.

"Tak taulah..." Nadia mengangkat bahu tanda tidak mengetahui apa yang dirasainya. Ana mencebik. Baginya jawapan Nadia itu tiada logik. Kalau Ana, dia akan rasa sangat sedih jika terpaksa ditinggalkan berseorangan. Berseorangan sunyi. Tiada yang menarik hanya dengan seorang diri. Bercakap dengan dinding pun buat Ana rasa gila kalau berseorangan. Walaupun Danish sentiasa berada di sisi Ana, namun Ana tidak dapat bercakap dengan Danish seperti Danish  rakan baginya. Jarak umur antara Danish dan Ana begitu jauh berbeza.

"Okey. Saya nak balik, nanti Danish cari saya tak tahu nak jawab apa..." ujar Ana sambil berdiri. Nadia berpaling ke arah Ana,

"Danish?". Nadia mengangkat kening.

"Dia butler saya, tapi dia suka membebel. Macamlah tak ada benda lain yang nak dibuat melainkan membebel dan jaga saya. Macamlah, saya ni budak kecil yang perlu dijaga setiap masa...". Nina mencebikkan bibir. Dia bercekak pinggang. Nadia ketawa kecil.

"Caring betul Danish tu, ya..." puji Nadia. Dia bangun dan menghampiri sebuah pasu yang diletakkan di tepi dinding taman.

"Erm, bolehlah. Tapi, dia tu tegas kut..." balas Ana. Dia mengerling ke arah Nadia yang menghampiri sebuah telaga di dalam taman itu. Nadia mengambil timba dan mencedok air dari telaga itu. Kemudian, dia memindahkan air tersebut ke dalam watering can.

"Apa yang awak buat tu?" soal Ana apabila melihat Nadia mula menyiram pokok bunga dari satu pasu ke satu pasu.

"Siram bunga." jawab Nadia.

"Tapi, takkanlah awak nak siram semua bunga dalam taman ni. Bunga-bunga dalam taman ni sangat banyak. Letihlah..." Ana tidak bersetuju dengan cara Nadia menyiram bunga. 'Bukankah sekarang ini zaman moden, siram guna paip air ajelah. Senang. Tapi Nadia ni klasik sungguh. Macam dia tinggal di zaman British.' desis hati Ana.

"Sebab saya suka siram bunga cara ni..." balas Nadia, pendek. Tangannya berhenti menyiram pokok bunga yang ketiga.

"Kenapa?" Ana berjalan menghampiri Nadia dan duduk bertinggung di tepinya.

"Saya boleh menghayati keindahan alam dan saya boleh tahu bunga saya layu atau tak. Daunnya dimakan belalang atau tak. Kalau saya siram dengan paip, saya hanya akan siram dan duduk sangat jauh dari pokok bunga. Saya langsung tak dapat lihat kerosakan bunga tu..." jawab Nadia panjang lebar. Dia menyentuh sekuntum bunga.

Ana mengangguk. Mengiakan kata-kata Nadia. "Awak tahu ini bunga apa?" soal Nadia kepada Ana. Ana menggeleng. Dia tidak tahu bunga apa yang disentuh oleh Nadia.

"Ini bunga petunia. Awak tahu tak maksud bunga ni?". Ana menggeleng apabila ditanya. Nadia tersenyum. Dia mencium bunga tersebut.

"Maksud bunga ni ada tiga. Pertama, geram. Kedua, kemarahan dan ketiga, kehadiran awak menenangkan saya..."

"Jadi, adakah antara 3 makna bunga ni. Ada apa yang awak rasa terhadap saya?" soal Ana kepada Nadia. Dia turut sama menyentuh bunga itu.

"Ada. Makna pertama dan kedua, tidak. Tapi, yang ketiga...kehadiran awak menenangkan saya..." Nadia menyentuh kepala Ana.

"Kehadiran saya menenangkan awak? Kenapa?" soal Ana,

"Rahsia..." jawab Nadia. Dia kemudiannya menyiram bunga yang seterusnya dan menyentuh bunga itu setelah menyiramnya.

"Nadia, awak tahu macam mana nak keluar dari sini tak?". Nadia berpaling ke arah Ana. Dia berjalan menghampiri Ana.

"Ikut saya.". Ana mengikut langkah Nadia. Nadia berjalan menuruni anak tangga dan sampai di hadapan pintu sebuah bilik. Nadia membuka pintu itu. Ana masuk ke dalam bilik  itu. Ana rasa kagum dengan binaan bilik itu.

"Untuk sampai ke tingkat atas, awak perlu naik anak tangga yang banyak ni." Nadia berkata.

"Banyaknya anak tangga..." ujar Ana. Pemegang anak tangga itu kelihatan lama dan binaannya kelihatan unik. Ana naik satu anak tangga dan berpaling melihat Nadia.

"Terima kasih. Saya akan lawat awak lagi..." Ana melambai-lambaikan tangannya ke arah Nadia. Nadia hanya membalas lambaian Ana dangan senyuman.

"Saya tunggu..." balas Nadia perlahan. Dia menghantar pemergian Ana dengan pandangan kosong.

******

Ana menutup pintu bilik  itu. "Ni tingkat bawah tadi, kan. Bilik ni nampak lama je..." kata Ana apabila dia melihat tombol pintu itu.

"Cik muda! Cik muda!" Ana terdengar suara Danish memanggilnya. Ana mahu berlari apabila mendengar suara Danish namun luka di lututnya menyebabkan dia berjalan sahaja.

"Danish!". Danish dan beberapa orang pembantu rumah berpaling ke arah Ana.

"Cik muda!". Ana memeluk Danish.

"Terima kasih sebab cari saya Danish." Ana tersenyum melihat Danish.

"Cik muda, jom kita rawat luka cik muda ni..." Danish mencempung Ana. Ana mengangguk. Dia terlupa untuk memberitahu Danish tentang Nadia walaupun dia berhasrat untuk memberitahu Danish tentang Nadia dan taman bunganya yang cantik itu.



5 ulasan:

  1. Wah,bestnyer..sambung lgi..

    BalasPadam
  2. nice intro. -thumbs up- saya akan tunggu sambungannya. :)

    BalasPadam